LINKSC2C EVENTSECOTOURISMMULTIMEDIA                         SITEMAPHOMECONTACT US
 Port Klang Coastalink
 Knowledge Center
 State of the Coast
 Opportunities & Events
 Partners
 What's New
 EAS CONGRESS 2006


WHAT'S NEW
 News Announcements Media Ecotourism

PORT KLANG NEWS ( in Bahasa Malaysia)
 

RM152 juta tingkatkan keselamatan Selat Melaka
Utusan Malaysia, 21 September 2006

KUALA LUMPUR 20 Sept. – Malaysia, Singapura dan Indonesia memerlukan RM152 juta bagi menjayakan enam cadangan dalam usaha meningkatkan tahap keselamatan dan penjagaan alam sekitar di perairan Selat Melaka.

Pengarah Bahagian Keselamatan Maritim, Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO), Koji Sekimizu berkata, selain ketiga-tiga negara pesisir tersebut, pembabitan negara pengguna dan negara yang mempunyai kepentingan terhadap Selat Melaka dalam menjayakan misi itu, juga dialu-alukan.

‘’Perbincangan dengan negara-negara terlibat setakat ini menunjukkan tanda-tanda positif dan IMO akan terus memantau perkembangan cadangan tersebut,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar penutupan Mesyuarat Selat Melaka dan Singapura di Kuala Lumpur: Meningkatkan Keselamatan, Keamanan dan Memelihara Alam Sekitar, di sini hari ini.

Mesyuarat tersebut selain dihadiri wakil tiga negara perairan Selat Melaka, turut disertai oleh delegasi daripada 31 buah negara lain.

Koji berkata, antara kandungan enam cadangan tersebut ialah menggantikan kemudahan pelayaran di perairan itu yang musnah ekoran tsunami dan membuang kapal-kapal yang ranap atau tenggelam melalui Skim Pengasingan Lalu Lintas di Selat Melaka dan Singapura.

’Satu sistem pengukuran angin, penanda pasang surut dan arus akan diwujudkan, di samping projek demonstrasi sistem pengenalan automatik untuk mengesan kapal-kapal kecil yang melalui selat itu,’’ jelasnya.

Selain itu kata beliau, peruntukan itu juga akan digunakan bagi menyelenggara alat-alat bantuan pelayaran di Selat Melaka dan Singapura.

‘‘Ketiga-tiga negara juga kerjasama dalam membuat persedian menghadapi ancaman bahan beracun dan bersifat pemusnah (HNS) yang dikesan di selat itu.

‘’Cadangan tersebut mengambil masa lebih kurang lima tahun bergantung kepada ketiga-tiga negara dan kesediaan negara-negara pengguna menjayakannya,’’ ujar beliau.


MPK pulih imej Sungai Klang

Penubuhan Unit Litter-Picking bukti kesungguhan majlis mahu saliran paling kotor kembali bersih.
Daripada: Akhbar Berita Harian, Edisi Sentral, Rabu 09 Ogos 2006



KLANG: Sebut saja Sungai Klang, apa yang akan bermain di depan mata ialah kelikatan airnya yang kotor. Bagaikan berbayang-bayang di ruang mata, air keruh mengalir lemah dan sampah terapung hanyut tanpa arah. Tanyalah siapa pun mengenai Sungai Klang, jawapan yang diterima pasti sama - kotor, busuk, jijik. Baunya yang hanyir bagaikan sudah sebati dalam minda masyarakat. Menyedari perkara itu, Majlis Perbandaran Klang (MPK) melaksanakan kerja dan kempen pembersihan sungai sepanjang 47 kilometer yang terletak dalam sempadan daerah Klang.

Penubuhan Unit Litter-Picking Sungai Klang membuktikan kesungguhan MPK dalam menangani masalah pencemaran sungai yang dianggap antara paling kotor di Selangor mahupun Malaysia. Ditubuhkan sejak Jun lalu, unit itu berperanan mengutip sisa buangan di tebing sungai menggunakan dua atau tiga bot kecil, setiap hari seawal jam 7 pagi hingga 7 malam.
Bilangan petugas unit itu adalah lima hingga enam orang pada satu-satu masa dengan kawasan operasi antara Jambatan Musahidin hingga ke rumah pangsa kakitangan MPK di Jalan Tepi Sungai.


Mereka yang bertugas setiap hari termasuk Sabtu dan Ahad mengutip sampah purata antara satu hingga dua tan sehari. Kalau sebulan? Kiralah sendiri sampah yang mungkin pernah anda buang! Sampah itu kemudian dibawa lori ke tapak pelupusan di Telok Kapas, Klang, manakala sebahagian sisa buangan khususnya tin minuman, diproses untuk dikitar semula. Unit yang dipercayai pertama kali ditubuhkan di negara ini hasil cetusan ilham Yang Dipertua MPK, Abdul Bakir Zin, dijangka mengambil masa lama untuk membersihkan Sungai Klang.

"Kerja ini mungkin mengambil masa sebab sebahagian sampah dibawa dari daerah lain kerana Sungai Klang melalui beberapa daerah sebelum hanyut ke Klang," katanya kepada Sentral. Beliau berkata, MPK juga membeli sebuah bot yang mampu membawa kira-kira 15 penumpang pada satu masa bagi menyusuri sebahagian Sungai Klang sejauh 20 kilometer.

"Tidak lama lagi, orang ramai boleh menaiki bot dan menyusuri Sungai Klang dengan sedikit bayaran, untuk menikmati keindahan alam sekitar. Ketika itu, Sungai Klang tidak lagi kotor.

"Kita sudah memulakan penyusuran sejak minggu lalu. Buat permulaan, kita bawa kakitangan jabatan kerajaan dulu. Selepas Unit Litter-Picking mencapai kejayaan, orang ramai boleh ikut," katanya. Abdul Bakir juga memberi amaran, denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya, selain denda tambahan RM500 bagi setiap kesalahan, dikenakan jika membuang sampah ke sungai. "Kita merancang banyak program bagi membersihkan Sungai Klang. Sebahagian sudah dimulakan termasuk Unit Litter-Picking ini, sebab itu kita tidak bertolak ansur dengan mereka yang membuang sampah di sungai," katanya.



___________________________________________________________________


SESI DIALOG ALAM SEKITAR


Kehidupan yang sihat dan bersih bermula dari persekitaran kita. Atas kesedaran itulah maka Lembaga Urus Air Selangor ( LUAS) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah berganding bahu menganjurkan sesi dialog alam sekitar yang bertemakan ‘Keindahan Alam Tanggungjawab Bersama”. Sesi dialog ini telah diadakan pada tanggal 28 Januari 2005 dan melibatkan pelajar tingkatan 4 dan 5 Sekolah Menengah Unwanus Saadah, Kanchong Darat, Banting, Selangor sebagai kumpulan sasaran.

       
         
Tekun sepanjang sesi ceramah               Penceramah dari LUAS          Ilmu alam sekitar sedang diserap

Program yang memakan masa selama setengah hari ini mensasarkan empat objektif untuk dicapai. Pertama memperkasa semangat cintakan alam sekitar, kedua, menghubungkan para peserta dengan pihak-pihak yang berperanan dalam memelihara dan memulihara alam, ketiga, mewujudkan kesedaran tentang kepentingan menjaga alam sekitar dan yang terakhir, memberi pendedahan dan membantu kepada menambahbaik kualiti alam sekitar.

                                                
                                                  
   Bertukar-tukar cenderahati

Antara aktivit utama yang dijalankan dalam program ini ialah ceramah alam sekitar yang disampaikan oleh En. Mohd Haris bin Hassan, Pegawai Penerangan LUAS dan aktiviti Latihan dalam Kumpulan (LDK) yang dikelolakan oleh para pelajar UiTM. Sepanjang program ini berlangsung, para pelajar telah memberi tumpuan yang sepenuhnya dan ternyata menunjukkan kesungguhan dalam isu alam sekitar yang dibentangkan. Diharapkan program ini sedikit sebanyak mampu memupuk semangat cintakan alam sekitar di kalangan pelajar-pelajar terbabit.

___________________________________________________________________

LAWATAN SAMBIL BELAJAR PELAJAR-PELAJAR UKM

Jauh berjalan, luas pandangan…Tanggal 13 Januari 2005 (Khamis), para pelajar Jurusan MIkrobiologi, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan diiringi oleh 2 orang pensyarah telah mengadakan satu lawatan sambil belajar ke Pulau Ketam, iaitu salah satu tapak demonstrasi Projek Pengurusan Bersepadu Pantai (ICM) di bawah seliaan Lembaga Urus Air Selangor ( LUAS ) dengan kerjasama Jabatan Laut Wilayah Tengah. Kumpulan pelajar UKM ini turut diiringi oleh 7 orang staff LUAS yang bertindak sebagai mentor bagi kumpulan-kumpulan kecil yang dibentuk.

                   
                     
    Peringatan keselamatan sebelum                 Bertolak ke Pulau Ketam dari jeti
                                                 menaiki bot                                 Jabatan Laut, Pelabuhan Klang

Lawatan yang bertemakan ‘Ke Arah Pemuliharaan Sumber Marin dan Persisiran Pantai’ telah mensasarkan beberapa objektif untuk dicapai antaranya ialah untuk memperkenalkan LUAS dan untuk menyalurkan maklumat mengenai Projek Pengurusan Bersepadu Pantai (ICM) kepada pelajar-pelajar terbabit. Antara aktiviti utama dalam lawatan yang mengambil masa selama satu hari ini ialah persampelan air laut, sedimen dan plankton di dua stesen iaitu Jeti Pulau Ketam dan perairan Pelabuhan Klang yang mana akan digunakan sebagai bahan kajian pelajar-pelajar tersebut. Para pelajar juga telah berpeluang meninjau aktiviti-aktiviti komuniti Pulau Ketam yang sebahagian besarnya bekerja sebagai nelayan. Selain itu, mereka juga turut diberi penerangan mengenai hutan paya bakau termasuk nilai ekologi, kepelbagaian biologi dan kegunaan hutan bakau terutamanya kepada penduduk sekitar pesisir pantai tersebut.

       

                             
Persampelan air dan sedimen di jeti Jabatan Laut, Pulau Ketam

Dalam perjalanan pulang, para pelajar telah dibawa meninjau aktiviti-aktiviti di perairan tersebut antaranya akuakultur ikan dalam sangkar, import eksport di Pelabuhan Utara dan aktiviti pelancongan di Terminal Star Cruise. Diharapkan dengan pendedahan ini, para pelajar akan menyedari peri pentingnya perairan ini kepada masyarakat khususnya dan negara amnya.

                      
                      
Tidak lengkap lawatan tanpa menikmati           Selamat tiba semula di darat
                      
           keunikan Pulau Ketam

___________________________________________________________________

CERAMAH SEMPENA MINGGU ALAM SEKITAR 2004


Pada 08 Oktober 2004, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dengan kerjasama pihak, Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) Sek. Keb. Seksyen 20 (SKS 20), Shah Alam telah mengadakan Program Kesedaran Awam bertempat di Dewan Sekolah SKS 20, sempena Sambutan Minggu Alam Sekitar 2004. Program tersebut juga telah dirancangkan dibawah Biro Pembangunan Pelajar PIBG bagi mengisi masa terluang pelajar-pelajar pada penghujung tahun sebelum memulakan cuti persekolahan.

Ceramah yang bertajuk “Peranan Pelajar dalam Pemuliharaan Sumber Air dan Alam Semulajadi” telah disampaikan oleh En. Mazlan Idrus, Pegawai Laut dari Unit Pengurusan Bersepadu Persisiran Pantai (ICM) Pelabuhan Klang. Ceramah tersebut telah diadakan di dalam dua Sesi iaitu Sesi Pagi untuk pelajar Tahun 5 dan 6 manakala sesi petang untuk pelajar tahun 3 dan 4. Disamping ceramah, kuiz alam sekitar juga telah diadakan dimana mendapat sambutan yang menggalakkan dari para pelajar. Pelajar-pelajar yang menjawab dengan tepat telah diberikan hadiah-hadiah yang disediakan oleh LUAS. Hadiah-hadiah tersebut disampaikan oleh Guru Besar SKS 20, En Abdul Aziz bin Hj Md Ali.

                                           
                                       
Para pelajar sedang tekun mendengar ceramah

Sebagai generasi pelapis, pelajar-pelajar adalah pewaris alam semulajadi di masa akan datang. Justeru itu, mesej dan pengetahuan berkaitan pemuliharaan sumber-sumber alam semulajadi terutama sumber air tawar untuk minuman dan air masin di laut untuk sumber protin adalah perkara penting yang perlu disampaikan kepada para pelajar. Sekiranya kedua-dua sumber tersebut sudah tercemar maka kehidupan manusia itu sendiri akan tergugat. Di dalam ceramah tersebut juga, pelajar-pelajar diberikan penerangan tentang proses kitaran air semulajadi dan kepentingan ekosistem hutan paya bakau di persisiran pantai.

Hutan bakau umpamanya menjadi kawasan pembiakan sumber perikanan, mengawal hakisan pantai dan tempat persinggahan burung-burung hijrah. Sekiranya hutan bakau ditebang tanpa kawalan maka sumber perikanan dan eko-pelancungan akan terjejas disamping komuniti persisiran pantai akan terdedah kepada banjir, ombak besar dan bencana alam semulajadi yang lain. Beberapa poster dan bahan-bahan bacaan yang berkaitan telah di serahkan kepada Pusat Sumber Sekolah untuk rujukan para pelajar. Selain dari itu, Kempen seperti jimatkan penggunaan air, cintai sungai, penanaman semula pokok-pokok dan kitar semula mestilah diamalkan dalam kehidupan seharian dan ianya merupakan sebahagian dari proses pendidikan seumur hidup setiap individu untuk mempastikan Selangor Negeri Maju 2005.

                                              
                          
En Abdul Aziz bin Hj Md Ali menyampaikan hadiah kepada pemenang kuiz