Sidebar

As soon as you open an account Bet365 will send you a 10 digit Offer Code via email. Receive Your £200 bet365 Welcome Promo Bonus plus £50 Mobile Promo

Penubuhan LUAS

Alat
Tipografi

Penubuhan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bermula daripada arahan Jemaah Menteri pada Julai 1997 yang meminta Kementerian Pertanian, seterusnya Kerajaan Negeri Selangor supaya mengkaji cadangan bagi menubuhkan satu badan untuk menguruskan sungai dan sumber air secara bersepadu dengan mengambil Sungai Selangor sebagai projek perintis dan Sungai “Thames” di United Kingdom sebagai model pelaksana.

Sehubungan dengan itu, penyelarasan peranan dan bidangkuasa antara agensi kerajaan negeri dan persekutuan telah dibuat bagi memastikan tidak wujud sebarang pertindihan fungsi dan tanggungjawab serta melancarkan perjalanan badan ini. Lalu LUAS ditubuhkan melalui kelulusan Dewan Undangan Negeri Selangor yang bersidang pada 9 April 1999. Penubuhan LUAS ini dilengkapi dengan sebuah enakmen iaitu Enakmen Lembaga Urus Air Selangor 1999.

LUAS dilancarkan pada 18 September 1999, oleh Menteri Besar Selangor pada ketika itu, YAB Dato’ Seri (Dr) Hj. Abu Hassan Bin Hj. Omar yang juga selaku Pengerusi Lembaga Pengarah LUAS yang pertama. Ir. Hj. Rahmat bin Hj. Mohd Sharif, Timbalan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor telah dilantik sebagai Pengarah LUAS yang pertama bermula pada 15 September 1999. LUAS mula beroperasi secara rasmi pada 1 Ogos 2000 dengan pengambilan kakitangan ‘nukleus’ seramai 13 orang.

Ahli Lembaga Pengarah LUAS dipengerusikan oleh Dato’ Menteri Besar Selangor. Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor sebagai Timbalan Pengerusi dan Pengarah LUAS sendiri sebagai Setiausaha. Manakala ahli-ahli Lembaga Pengarah yang lain terdiri daripada Penasihat Undang-undang Negeri, Pegawai Kewangan Negeri, 3 orang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dilantik, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia serta 5 orang yang dilantik berdasarkan kepakaran mereka di dalam bidang pengurusan sumber air.

LUAS adalah sebuah agensi pengurusan sumber air Negeri Selangor yang juga merupakan agensi ulung dan perintis kepada pengurusan sumber air negeri. Dengan adanya Enakmen Lembaga Urus Air Selangor 1999, LUAS dilengkapi dengan peruntukan perundangan dan penguatkuasaan untuk melaksanakan tanggungjawab serta fungsinya dengan berkesan.

LUAS dipertanggungjawab untuk memastikan sumber air negeri, termasuk lembangan sungai, air bumi dan permukaan, tasik, kolam dan bekas lombong, serta pesisiran pantai Negeri Selangor supaya sentiasa berada di dalam keadaan terpelihara. Fungsi dan tanggungjawab ini dilaksanakan oleh LUAS melalui pendekatan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) dan juga pendekatan Pengurusan Pantai Bersepadu (ICM).

Pada tahun 2010, LUAS mengalami penstrukturan semula bahagian dan unit seperti yang diluluskan oleh Lembaga Pengarah. Beberapa unit baru diwujudkan di dalam LUAS untuk memantapkan lagi pengurusan dan perkhidmatan. Seramai 58 orang kakitangan baru diserap bermula pada 1 Februari 2011. Perkembangan positif ini sekaligus memberikan tenaga baru untuk LUAS terus bergerak pantas melaksanakan fungsi-fungsinya, serta memberikan perkhidmatan yang cemerlang demi mencapai misi dan visi.